31.12.11

2012 Yang Penuh Konspirasi

Semasa post ini ditulis, jam menunjukkan 8.11 pagi waktu Jordan. Suasana pagi tahun baru 2012 ini tenang, sunyi dan sepi menafikan pandangan sesetengah masyarakat yang bimbang, khuatir dan panik dengan kedatangan tahun 2012 yang begitu panas dilanda kontroversi.





Bermula dengan penayangan filem pencetus huru-hara, Filem 2012, pelbagai andaian dilontarkan dari sekecil-kecil bencana alam sehinggalah sebesar-besar The Judgement Day. Paling menyedihkan adalah isu-isu yang ditimbulkan telah dipercayai oleh mereka yang mengaku beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.


Walaupun begitu, menarik juga kalau kita mengkaji sedikit tentang ramalan kaum Maya, punca sebenar teori kiamat 2012.


Ramalannya adalah seperti berikut:


Dalam kalender bangsa Maya yang sangat tersohor itu, diramalkan bahwa pada periode 1992-2012 bumi akan “dimurnikan”, selanjutnya peradaban manusia sekarang ini akan berakhir dan mulai memasuki peradaban baru.Dalam sejarah peradaban kuno dunia, bangsa Maya dikenal menguasai pengetahuan tentang ilmu falak yang khusus dan mendalam, sistem penanggalan yang sempurna, penghitungan perbintangan yang rumit serta metode pemikiran abstrak yang tinggi. Kesempurnaan dan akurasi dari pada penanggalannya membuat orang takjub.

Nampak?

Faham?

Kalau pun kita ingin sangat mengikut ramalan tersebut, ikutlah secara hikmah dan membawa faedah. Ramalan tersebut jelas mengatakan yang akan berakhirnya peradaban manusia sekarang dan akan MUNCUL satu peradaban BARU.

Ramalan tersebut patut diambil pengajaran oleh kita sebagai orang Islam. Sampai bila kita mahu kekal dalam peradaban yang mana umat kita dipandang hina, jijik, dan jumud. Islam yang dibawa Rasulullah tidaklah begitu, tetapi setelah 1400 tahun macam-macam telah berubah, semuanya disebabkan kita, manusia yang gagal memahami asas-asas ajaran Islam yang suci lagi murni seperti mana mereka yang telah menyalahtafsirkan ramalan kaum Maya tadi.

Agama ini ibarat aliran air bukit yang turun ke lembah. Bermula dari puncak bukit, airnya suci dan bersih tetapi sepanjang perjalanannya ke lembah itu, diangkut sekali batu, pasir, dan pelbagai lagi elemen-elemen yang akhirnya apabila sampai di lembah airnya menjadi keruh.

Hanya satu cara untuk menjadikan air tadi kembali bersih, iaitu dengan menggunakan 'water-filter'. Islam juga ada filternya, Al-Quran dan As-Sunnah.

Sabda Nabi: Telah ku tinggalkan dua perkara yang jika engkau pegang dengannya nescaya kau tak akan sesat, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Akibat salah tafsir kedua-dua sumber ini oleh segelintir manusialah yang menyebabkan umat Islam dilanda satu zaman yang sangat gelap pada masa ini.

Islam itu bukanlah hanya aqidah dan ibadat, tetapi juga tanahair dan kebangsaan, sebagai akhlak dan kebendaan, sebagai kebudayaan dan undang-undang, serta toleransi dan kekuatan.

Kesimpulannya, melangkah ke tahun baru 2012 jangan kita bawa otak dan cara pemikiran kita yang lama. Gajet baru mesti dipadankan dengan aksesori yang baru. Baju baru pasti padan dengan seluar dan kasut baru. Rumah baru pasti indah dengan perabot baru. 

Ayuh, rakan-rakanku kita barukan pemikiran kita terhadap agama yang menjamin kita ke syurga Allah S.W.T. Pembaharuan pemikiran masyarakat Islam telah melanda dengan lebat di negara-negara maju di Barat. Tidakkah kita mahu menjadi seperti mereka? 8 tahun masa yang sangat singkat untuk kita menuju ke wawasan 2020. Kalau bukan sekarang bila lagi, kalau bukan kita siapa lagi dan kalau bukan di sini di mana lagi?

Bukankah di Malaysia, cara sambutan Tahun Baru juga diperBAHARUi. Gandingan Zizan dan Ust Azhar Idrus bukanlah sesuatu yang boleh kita jumpa tahun-tahun sebelum ini.

0 comments:

Post a Comment