28.8.11

Sehari Sebelum Aidilfitri

Memandangkan blog kita ini telah lama ditinggalkan tanpa diusik dan di'update', maka dengan rasa penuh bertanggungjawab izinkan saya mencoretkan sedikit kata dan kalimah sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang kurang 24 jam daripada masa kiriman ini dinukilkan.

Menjelangnya Hari Raya bermakna habisnya puasa dan habisnya puasa bermakna bebaslah syaitan-syaitan yang dirantai pada bulan penuh barakah ini. Maka dapat disimpulkan, menjelangnya raya maka muncullah syaitan. Nescaya hidup kita akan kembali seperti sebelum Ramadhan dulu. Dari teruk dalam bulan puasa menjadi lebih teruk dalam bulan-bulan biasa. Nauzu billah min zalik.

Tidak kurang ada juga yang merasakan hidup dia dalam bulan puasa dan bulan biasa sama sahaja. Maknanya syaitan diikat atau tidak, dia tetap melakukan maksiat yang sama. Maka ingatlah bahawa sesungguhnya diri kita jika begini adalah hamba nafsu diri sendiri.

Selain itu, ada golongan yang mungkin diri kita, yang dia menjadi lebih baik selepas Ramadhan. Diri yang begini boleh dianggap lulusan cemerlang madrasah Ramadhan. Sesuai dengan firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman, dituntut ke atas kamu untuk berpuasa sepertimana yang dituntut ke atas orang-orang terdahulu agar kamu bertakwa." Beruntunglah diri kita jika kita berada dalam golongan ini.

Tetapi ingatlah masih belum terlambat untuk berubah, esok atau mungkin boleh dikatakan hari ini (jam menunjukkan pukul 12.52 a.m) merupakan hari terakhir berpuasa, maka marilah kita melipatgandakan amalan kita hari ini!

Mungkin cara-cara di bawah boleh membantu kita menambah amalan di waktu-waktu terakhir ini:

  1. Selepas sahur daripada kembali ke kamar tidur, apa kata ke kamar mandi dan berwuduk. Kemudian solat tahajud dua rakaat dan berzikir beberapa minit sementara menunggu Subuh.
  2. Subuh berjemaah di masjid. Selama 28 hari Subuh gajah memanjang, apa kata hari terakhir ini kita gagahkan diri ke masjid yang cuma berada di sebelah rumah kita.
  3. Selepas Subuh, baca 2-3 ayat Quran. Ingin hebat lagi tambah sampai 2-3 muka atau mungkin boleh hingga 2-3 juzu'.
  4. Bantulah ibu kita membasuh pinggan yang digunakan masa sahur. Sejuk perut ibu kita.
  5. Duit yang kita biasa habiskan untuk beli tambah nilai telefon bimbit untuk mesej si dia, apa kata kita sedekahkan jumlah yang sama ke dalam tabung-tabung masjid atau kepada mereka yang memerlukan yang kita jumpa di tepi jalan.
  6. Berjam-jam waktu yang biasa kita guna untuk lepak dan layan FB, apa kata luangkan 10 minit untuk solat dhuha dua rakaat.
  7. Kemudian, waktu yang berjam-jam juga yang kita guna untuk baca komik di laman internet atau sebagainya, alangkah indahnya kalau kita luangkan sekurang-kurangnya setengah jam sahaja untuk baca Al-Quran.
  8. Kalimah-kalimah mengarut dan mencarut yang keluar dari mulut kita, gantikanlah dengan zikir-zikir memuji-Nya dan berdoa sesungguhnya doa orang yang berpuasa makbul.
  9. Masa sebelum berbuka yang telah 28 hari kita habiskan dengan menunggu bodoh sambil merenung dan menghidu makanan, berdoalah kepada Allah hajat yang paling kita inginkan. Waktu ini waktu yang paling mustajab dan Insya-Allah termakbul.
Jomlah kita memanfaatkan hari terakhir di bulan yang penuh dengan barakah ini. Siapa tahu Ramadhan kali ini Ramadhan terakhir buat kita. Alangkah ruginya jika dihabiskan kesemua 29 hari dengan aktiviti-aktiviti yang menambah dosa. Sekurang-kurangnya ada satu hari kita yang dimanfaatkan.

Sekurang-kurangnya hari ini menjadi hari untuk kita menambah pahala. Sesungguhnya setiap amalan fardhu di bulan puasa akan digandakan 70 kali pahala dan amalan sunat menjadi setaraf dengan amalan fardhu. Ruginya kalau tak direbut peluang ini. Insya-Allah.


0 comments:

Post a Comment